ASAM PEDAS IKAN SAMA REBUNG...

rsz_asam_pedas_rebung
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat menerima kunjungan blogger otai Broframestone bersama isteri dan anak beliau, Fisha. Tapi apa yang anda nampak ni bukan yang che mat masak hari ini, tapi masak semalam. Untuk jamu tetatmu tadi, che mat masak gulai rebung lada hitam, udang galah sweet sour, telur dadar, dan ulam2man. Menu yaang mudah2 saja. Kita sambung cerita pasal resipi asam pedas ikan sama rebung pulak. Mula2 che mat dengar dulu, macam janggal dan pelik sangat bila rebung dimasukkan ke dalam asam pedas. Tapi bila dah cuba, Allah hu akhbar, sedap kan main. Kuah asam pedas pun jadi bertambah sedap.... Sampai kering ok, tak bersisa...

rsz_asam_pedas_rebung1
Che mat guna ikan pari dan anda boleh guna apa2 ikan yang anda suka, tapi seelok2nya guna yang banyak isi. Kalau ganti dengan ayam juga sesuai. Seperti biasa che mat guna rebung madu yang memang ada kat rumah. Rebus rebung madu tadi hingga empuk dan masukkan sedikit garam semasa merebus. Ada komen yang che mat baca, cara merebus rebung tadi dilakukan 2 kali, lepas rebus pertama kali, airnya dibuang. Kemudian untuk rebusan kali ke 2, masukkan sedikit gula. Yang ni che mat tak pernah cuba lagi, dan jika anda suka, anda bole cuba. Anda juga boleh beli rebung madu yang telah siap direbus. Kebiasaannya banyak dijual di negeri2 utara Malaysia....Bagi yang ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ikan pari
500 gram rebung madu, yang telah siap direbus
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
2 senduk nasi penuh cili kisar
1 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 camca teh lada hitam serbuk (che mat guan aji-shio)
1 camca besar pes asam jawa
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan pari dipotong ikut suka, perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris hingga harum dan perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tambah serbuk kunyit, kacau dan masak sekejap.
  2. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1500ml). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan rebung dan bunga kantan. Masak 5 minit dan tambah ikan pari, kacau dan masukkan daun kesom, kiub ikan bilis (jika guna) dan serbuk lada hitam. Kacau perlahan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain..