NASI GORENG SARDINE.

Tags

P1290327
Salam pagi Khamis, Sedenak ni pagi2 dah hujan renyai, tapi buat masa sekarag, matahari dah muncul, boleh lah jemur kain baju. Pagi ni mat goreng nasi campur sardine, tapi mat ambik ikan dia saja. Kalau anda guna sardine dalam tin, mungkin 1 tin sardine saiz paling kecil tu sudah memadai. Macam mat guna sardine buatan sendiri, mat simpan dalam peti sejuk dan ni mat guna 1 ekor ikan sardine tu..kalau nak mencuba buat sardine sendiri boleh tengok entri yang ini.

P1290334
Ni sebenarnya nasi semalam, berbaki dalam 3 cawan, mat simpan dalam peti sejuk, jadi pagi ni kita goreng. Satu perihal nasi goreng ni, ianya kita boleh letak apa saja yang kita rasa sesuai, untuk rencah pun sama, nak guna ikan bilis, udang kering atau sambal belacan semua boleh. Cuma mat nak sarankan kalau nak buat nasi goreng ni, elakkan guna nasi yang agak lembik, nanti nasi goreng akan bergumpal2 dan tidak kelihatan menarik. Oh yeaa.. sebelum tu, bagi mereka yang pernah kena "hina" macam mat kena semalam, anda boleh baca satu entri yang boleh menenangkan perasaan kita di sini... Kita semak resipi pulak...jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3-4 cawan nasi sejuk, dileraikan
1 tin kecil saredine cap ayam, ambik ikannya dan hancurkan
5 batang sweet peas, hiris
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 inci halia muda, cincang halus (optional)
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 camca besar cili kisar
2 biji telur, pukul sedikit
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun sup, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali tumis bawang besar, bawang putih hingga layu. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing. Tambah sardine, halia, cili merah/hijau dan sweet peas, kacau rata.
  2. Tolak ketepi kuali, masukkan telur tadi dan biar mengeras sedikit dan kacau hancur, gaul rata dan tambah sedikit sos ikan. Masukkan nasi dan gaul rata. Masak dengan api besar hingga nasi berbau harum. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi sos ikan. Kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. Tabur hirisan daun sup sebelum dihidangkan, boleh juga dimakan bersama ulam petai atau timun...Selamat mencuba..