BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM

Assalammualaikum, salam semua. Sebelum che mat teruskan, nak cerita sikit. Resipi dalam entri ini ialah resipi yang che mat pernah bekerjasama dengan pihak JALEN dulu dan disebabkan laman web mereka menghadapi masalah, jadi che mat dapat keizinan untuk berkongsi kembali resipi yang menggunakan produk JALEN, di blog tiffinbiru. Burger daging bersos lada hitam ini che mat bikin sendiri daging burgernya dan juga sos lada hitam. Roti tu sebenarnya che mat bikin sendiri juga, tapi rasanya untuk lebih mudah, anda guna saja roti yang dah siap. Resipi ini akan menghasilkan 4 keping daging burger bersaiz seperti dalam gambar (maksudnya anda akan dapat 4 biji burger juga)...Jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHAN DAGING BURGER :-)
400 gram daging lembu yang dicincang,
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1 inci halia, tumbuk halus
1/3 cawan serbuk roti (guna yang warna putih)
1 camca teh serbuk ketumbar
1/2 camca teh serbuk jintan manis
1 camca besar serbuk mustard
1 camca teh kicap masin JALEN

BAHAN - BAHAN SOS LADA HITAM :-)
1 1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 camca besar tepung gandum
2 camca besar mentega
1 camca besar sos tiram JALEN
2 camca besar kicap pekat JALEN
Kicap lemak manis JALEN, secukup rasa
3 cawan air

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
4 keping keju chessdale (atau keju pilihan anda)
Daun salad secukupnya
Hirisan jeruk gherkin secukupnya
Hirisan tomato secukupnya
Hirisan bawang besar secukupnya
Hirisan timun secukupnya
Sos tomato JALEN secukupnya
Mayonnaise secukupnya
Sedikit majerin untuk disapu pada roti

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DAGING BURGER :- Satukan semua bahan2 untuk daging burger. Gaul rata (jika anda ada food processor, masukkan kesemuanya dalam FP dan putar pada kelajuan perlahan hingga semua bersatu). Bahagikan kepada 4 bahagian sama besar. Bulat2kan dan tekan hingga leper sedikit, pastikan saiznya lebih besar dari roti burger. Buat hingga siap dan panggang dalam non-stick pan dengan api kecil. Tekan perlahan2 atas daging burger tadi semasa memanggang. Masak 3 - 4 minit untuk setiap bahagian. Angkat dan ketepikan.
  2. UNTUK SOS LADA HITAM :- Panaskan mentega dalam periuk kecil. Tumis bawang holland hingga layu. Masukkan tepung gandum dan kacau rata, guna api kecil. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata dan air habis dituang. Masukkan lada hitam, sos tiram dan kicap pekat. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan kicap lemak manis secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM :- Ambil sebiji roti burger, belah dua dan sapu dengan sedikit majerin. Kemudian panggang hingga perang sedikit. Angkat dan ketepikan. Ambil bahagian bawah roti, susun daun salad, hirisan timun, hirisan tomato, jeruk gherkin dan hirisan bawang besar. Paipkan dengan sos tomato dan mayonnaise atasnya. Letak sekeping keju. Celupkan sekeping daging burger yang telah dipanggang ke dalam sos lada hitam dan taruk atas keju tadi. Tutupkan dengan bahagian atas roti burger. Cucuk dengan lidi sate bersih untuk menstabilkan burger anda. Hidangkan segera, pastikan lidi sate dibuang sebelum dimakan...Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU : - Daging cincang che mat masukkan dalam tapis, kemudian cuci dibawah air paip yang mengalir, toskan hingga kering dan boleh digunakan untuk membuat daging burger. Selain daging lembu, anda boleh guna daging ayam atau kambing..

PETOLA MASAK SAMA KACANG DHAL

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan dengan anda satu resipi mudah dan sedap. Selain enak dimakan sama nasi, ia juga boleh dimakan (dicicah) dengan roti canai atau roti biasa. Menu ini lebih kurang macam masakan parpu yang menggunakan bahan asanya kacang dhal yang direbus hingga betul2 kembang. Che mat gunakan petola ular, sejenis petola berkulit licin dan panjang, contohnya di sini. Jika takde, anda boleh guna petola biasa (yang bersegi2 tu). Idea masakan ini dikongsi oleh saudara che mat, yelah nak bikin masak lemak atau tumis air macam dah bosan, selalu sangat. Hidangan ini berkemungkinan besar berasal dari India dan rasanya agak ringan dan tidah pedas. Selain lemak dari kacang dhal, che mat juga gunakan santan dalam 1 cawan. Resipi che mat tuliskan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan kacang dhal
1 biji petola ular (atau petola biasa)
1 cawan santan (sederhana cair)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN TUMIS DARAT :-)
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 camca besar rempah kari*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
4 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata hingga menjadi pes)
5 tangkai cili kering, potong kecil, cuci dan toskan
1 camca teh biji sawi
1/2 camca teh halba
1/2 camca teh jintan manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petola dikupas kulit, buang bahagian tengah dan hiris sederhana tebal (kalau guna petola biasa, tak payah buang bahagian tengahnya). Kacang dhal dicuci, kemudian rebus hingga kembang. Jika kering, tambah 1 cawan air panas. Masukkan petola dan santan, kacau rata dan masak dengan api kecil.
  2. Sementara itu, panaskan minyak (anggaran 4 camca besar), dalam kuali. Tumis semua bahan2 tumis darat kecuali pes rempah. Masak hingga semua layu dan kekuningan. Masukkan pes rempah dan masak hingga rempah garing. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuangkan no 2 tadi ke dalam periuk berisi kacang dhal dan petola. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih dengan api sederhana buat seketika. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau roti...Selamat mencuba!!.

LEMAK CILI PADI REBUNG JERUK SAMA UDANG

Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat masak menu permintaan bonda. Rebung jeruk antara hidangan kegemaran bonda dan che mat. Biasanya rebung jeruk dimasak bersama daging salai atau babat dan ada juga yang masak dengan ikan dan tulang lembu. Tapi kali ni kita tak guna udang galah. Udang galah jenis udang gantung bersaiz kecil. Kalau udang galah sungai yang betul2 tu, saiznya besar. Satu lagi nak bercerita pasal rebung jeruk. Ada yang tak gemar sebab rebung jeruk dikatakan berbau dan aromnya boleh melekat dijari. Sebenarnya bergantung pada lama mana anda menjeruk rebung tersebut. Kalau lama sangat memang bau dia agak menyegat. Macam che mat guna ni, kami jeruk dalam 10 hari, bau dia biasa2 saja dan rasanya tak berapa masam sangat. Dan jenis rebung buluh betong paling sesuai jika nak dijeruk. Kalau rebung madu che mat rasa tak sesuai. Tak pandai nak menjeruk rebung, ok..caranya mudah. Jika anda beli rebung buluh betong, bersihkan (buang kulit luarnya hingga jumpa bahagian rebung yang putih dan lembut) kemudian guna penyagat, dan sagat rebung tadi untuk mendapat kepingan nipis. Cuci, toskan dan masukkan dalam bekas. Masukkan garam secukupnya (anggaran 1 genggam), tuang air masak sejuk hingga rebung tenggelam dan kacau hingga garam larut. Tutup rapat dan biarkan selama 1 - 2 minggu. Bila nak guna ambik secukupnya, toskan dan cuci. Sedia dimasak lemak cili padi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 ekor udang galah bersaiz kecil
Rebung jeruk secukupnya (anggaran 400+ gram)
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1/2 cawan cili padi (che mat campur yang merah dan hijau)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, potong kaki2 kecilnya, kerat muncung dan buang kotoran dibahagian kepala udang. Cuci bersih dan toskan. Rebung dicuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama serai, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. 
  2. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masukkan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil sambil dikacau sentiasa. Masak untuk 2 - 3 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

RESIPI UDANG GALAH MASAM MANIS

Assalammualaikum, salam Selasa. Bila part nak memasak ni ada kala boleh memeningkan juga, nak2 kalau ada yang boleh makan dan yang tak boleh makan. Ada yang nak pedas, dan ada yang tak boleh makan pedas. Kalau dapat kita yang memasak ni nak masak satu menu yang semua orang boleh makan, tak kira orang dewasa atau kanak2. Pada pendapat che mat, menu sweet sour atau masam manis antara pilihan tepat. Tidak pedas (atau boleh tambah cili padi macam che mat, untuk lebih pedas). Paling kerap orang guna ikan (ikan bawal atau ikan siakap), tapi anda boleh pelbagaikan, nak guna udang, ayam, ketam atau sotong pun boleh (kalau guna sotong elok kita goreng dengan tepung dulu, kendian baru masak sweet sour dan satu lagi kena dihidangkan segera). Jika anda demam atau kurang sihat macam che mat, silalah masak menu ini dan tambah cili padi lebih sikit, gerenti berpeluh bila makan!....Jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
7 - 8 ekor udang galah jenis kecil (udang gantung)
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1/2 camca teh garam
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, kuning, hijau)
8 tangkai kacang sweet pea (contoh di sini)
1 biji bawang besar, belah 6
2 ulas bawang putih, cincang halus
5 - 6 biji cili padi merah, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 camca besar plum sos
4 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Daun salad untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang galah dibersihkan, buah kaki2 kecilnya, janggut dan juga muncung udang. Buang juga kotoran yang berada di kepala udang. Cuci bersih dan gaul udang dengan serbuk lada sulah dan 1/2 camca teh garam. Kemudian goreng udang hingga bertukar warna, angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak tadi dan tinggalkan dalam anggaran 4 camca besar. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan sos cili, sos plum dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap dengan api kecil. 
  3. Tuang air, kacau dan biar mendidih. Masukkan kacang sweet pea, bawang besar dan cili padi. Bila bawang lembut, tambah traffic light capsicum, kacau dan masukkan udang, gaul rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu. Masak hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Alihkan udang ke dalam bekas yang dialas dengan daun salad. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat bepuasa sunat. Kadang2 fikir juga nak masakkan apa lah agaknya untuk bonda berbuka nanti. Dia tak memaksa dan makan apa saja, yang simple2 sudah cukup. Tapi che mat memang risau dan kadang2 tu kalau buatkan yang mudah2, rasa macam tak bess pulak. Tempoh hari ada stok pucuk labu kat rumah dan che mat ada beli petai. Jadi hari ni mari kita masak sambal tempoyak daun kayu, typical orang nismilan nya makanan ni, kalau gaul sama nasi panas, mau berbulu tangan. Daun2 guna yang ada sekitar rumah saja. Pucuk ubi bahan penting dan diikuti pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit yang kesemuanya diracik halus seperti bunga rampai. Kalau dapat guna tempoyak baru, lagi wangi. Pedas tu anda boleh ikut selera masing2, nak lebihkan atau kurangkan cili padi. Kalau che mat sudah semestinya kena pedas baru lah 'seksi'...peluh2 kau masa makan...haha...nak mencuba?..Jomm semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA
1 cekak pucuk ubi
6 - 7 tangkai pucuk labu
20 helai daun kaduk
20 helai pucuk kacang panjang
6 helai daun kunyit muda
3 papan petai
4 camca besar tempoyak
1 liter santan
1 keping kecil asam gelugor
1 genggam ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 cawan cili padi (che mat guna yang merah dan hijau)
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, kemudian mayang halus seperti bunga rampai, masukkan ke dalam bekas. Begitu juga dengan pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit, dimayang halus. Masukkan ke dalam bekas berisi pucuk ubi, cuci kemudian toskan hingga kering. Petai diambil isinya, kemudian potong kecil. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah tempoyak, ikan bilis (toskan airnya), petai dan santan. Kacau rata hingga tempoyak larut. Hidupkan api dan masak hingga menggelegak dan kuah pekat sedikit.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun2 yang telah dimayang tadi, sederhanakan api dan gaul hingga semua mesra. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

LEMAK TEMPOYAK PUCUK UBI SAMA UDANG

Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Makan apa tengah hari tadi?..Hari ni che mat kongsikan satu menu kegemaran bonda dan che mat juga. Tapi tak boleh makan selalu, sebab berprofile agak tinggi. Udang yang ada tu baki che mat masak sweet sour masa ada tetamu datang tu hari, tak banyak dalam 5 ekor tapi saiz agak besar juga. Kebetulan pucuk ubi kat tepi2 rumah tengah elok berdaun baru, jadi takde masalah lah nak masak. Tambah ada belen2 petai dari masak sambal goreng. Masakan ini boleh dikatakan senang dimasak dan bahan2 pun tak banyak. Kira asli dari negeri sembilan sebab tak guna bawang, hanya cilipadi dan kunyit hidup saja. Santan yang segar dan tak lupa tempoyak...Bagi yang nak mencuba, jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 ekor udang saiz besar
3 batang serai, diketuk
2 papan petai
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar penuh tempoyak
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Beberapa biji cili padi, dibelah 2 tapi tak putus

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi (che mat campur yang hijau dan merah)
1 1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Cuci dan rebus hingga empuk, toskan kemudian potong sedikit. Udang kerat sedikit kaki2nya dan hujung kepala, bersihkan kotoran dan toskan. Petai diambil isinya, cuci dan toskan.
  2. Masukkan pucuk ubi rebus ke dalam periuk bersama serai titik, tempoyak dan bahan2 kisar halus. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah udang, petai dan asam gelugor, masak hingga udang berubah warna. 
  3. Masukan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah hirisan daun kunyit dan cili padi belah. Masak dengan api kecil dan kacau selalu. Biarkan mendidih untuk 3 - 4 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

RESIPI SAMBAL GORENG MUDAH

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita bikin sambal goreng tapi sebelum tu che mat nak ingatkan lah, mungkin resipi ini bukan 100% tradisional atau 'asli'. Aku main masak ikut apa bahan2 yang ada dalam peti sejuk, dari membazir kau lemparkan saja sudah, jangan banyak sangat pantang larang. Cuma satu pekara saja che mat nak kasi tau. setiap bahan2 tu dalam kuantiti sederhana saja, kalau banyak sangat mau sekuali besar sambal goreng jadinya. Tapi kalau penduduk rumah muai, tak salah nak masak lebih. Macam che mat tak ramai, jadi masak dalam kadar sederhana dan berkemungkinan besar sambal goreng ni sampai esok pun masih berbaki. Ada satu bahan kurang iaitu tauhu kering @ fucuk, tapi che mat gantikan dengan fucuk yang ada pes ikan dalam dia (jenama mushroom). Boleh lah dari takde, tapi dalam resipi nanti che mat tulis fucuk. Petai tu optional, kalau tak makan petai toksah taruk yea....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tngkai kacang panjang, dihiris serong
1 keping tauhu, didadu dan goreng
2 keping tempe (jenis yang bungkus daun), didadu dan goreng
1 biji kentang, kupas, potong kecil dan goreng
2 keping fucuk (setiap 1 selebar tapak tangan orang dewasa), rendam hingga lembut dan potong kecil
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
2 papan petai, ambil isinya dan potong kecil
2 kelopak kobis, potong kecil
1/4 cawan isi udang
1 batang serai, diketuk
2 keping hirisan lengkuas
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1/2 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
2 camca besar cili kisar
1-2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 camca besar.Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan serai, lengkuas dan cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing. Masukkan isi udang dan masak hingga isi udang berubah warna.
  2. Tambah belacan yang telah dilarukan tadi dan juga jus asam jawa, kacau rata. Masukkan tempe, tauhu, kentang, fucuk dan kacang panjang, gaul rata dan masak hingga kacang lembut. Kemudian tambah kobis dan petai. Kacau dan masuk soo hoon (toskan dahulu airnya). Gaul hingga semua mesra.
  3. Masukkan hirisan cili hijau dan cili merah, kicap lemak manis dan perasakan dengan garam secukupnya, Kacau dan masak sekejap lagi. Sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!